Wednesday, January 6, 2010

Tragedi Gemencheh: Suspek ditahan reman

Seorang lelaki berusia 32 tahun - suspek utama dalam kes pembunuhan empat sekeluarga di dua buah rumah yang terletak bersebelahan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh kelmarin - ditahan polis di ibu negara semalam.

Satu pasukan polis dari Negeri Sembilan dihantar ke Kuala Lumpur untuk membawa suspek pulang bagi mendapatkan perintah reman selama tujuh hari di Tampin, lapor Bernama.Siasatan awal polis menunjukkan lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau penyalahgunaan dadah.

Polis juga akan menyiasat sama ada lelaki itu ada terlibat dalam ajaran sesat.Menurut agensi berita itu lagi, beberapa orang ahli keluarga yang ditemui berkata suspek - anak keempat daripada lapan adik-beradik - memang diketahui mengalami tekanan perasaan tetapi puncanya tidak diketahui.

Lelaki tersebut juga sering bertukar kerja dan gagal menamatkan pelajarannya di sebuah universiti.Suspek ditahan berhampiran Jalan Masjid India kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan polis dan menemui sebilah pisau bersama.Bagaimanapun pisau tersebut masih lagi disiasat sama ada digunakan untuk pembunuhan tersebut atau tidak.

Dalam tragedi lebih kurang 3.30 petang kelmarin, mangsa Atan Daud, 90, yang merupakan bekas imam masjid kampung berkenaan, isterinya Sutiah Katas, 80, menantu pasangan itu Ismail Awang, 76, dan cucu mereka Siti Khadijah Ismail, 22, dibunuh dengan kejam.Mayat mereka ditemui berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan.

Mayat Atan, Sutiah dan Ismail ditemui oleh adik Siti Khadijah yang baru pulang dari sekolah dalam keadaan terbaring di ruang tamu dalam rumah bekas imam itu, manakala mayat Siti Khadijah ditemui di ruang tamu rumah bersebelahan.

Bernama menyebut, suspek yang tinggal di Kuala Lumpur merupakan cucu kepada Atan dan abang kepada Siti Khadijah, yang melarikan diri selepas kejadian itu.

PKR Tampin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dan diberi ketabahan menghadapi dugaan.

No comments: