Saturday, December 27, 2008

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul RahmanSetiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,' kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada jam 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,' katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok.

Thursday, December 25, 2008

Info Semasa Sekitar Bahagian Tampin.

22hb Disember 2008
Timbalan Ketua Bahagian,Hj Baharuddin Hj Siri berada di Hospital Kuala Pilah kerana dijangkiti penyakit Chikunya. Beliau kini telah dilaporkan kembali sihat sediakala.

14hb Disember 2008
Satu gotong-royong membersihkan Pejabat PKR Tampin di Gemencheh telah dijalankan dan dihadiri oleh beberapa ahli dari cawangan Gemencheh, Gemas dan Taman Clonlee.

Pada hari yang sama juga, satu mesyuarat telah diadakan pada jam 3.00 petang di no 4641, Jalan Mempelam, Taman Dato' Taha, Gemencheh yang membincangkan berkenaan perkara-perkara pentadbiran bahagian.

1hb November 2008
Mesyuarat Penubuhan Cawangan Taman Clonlee
telah diadakan pada jam 8.30 malam di No. 4101 Taman Clonlee, Tampin. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Bahagian Rasah, Hj Muhammad Kamel Yassin. Turut hadir ke majlis adalah Ketua Bahagian Tampin, Kapten (B) Zolkapli Kassim dan Ketua Penyelaras Pergerakan PKR Repah, saudara G. Kannan.

Wednesday, November 12, 2008

Parti Keadilan Rakyat parti masa depan.

oleh Mustafa Kamal Abd Rahman

Felda Bukit Rokan Utara-"Parti Keadilan Rakyat adalah parti masa depan bagi rakyat Malaysia" kata Dato' Kamarul Baharin Abbas dalam ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian Tampin semalam.

Jelas beliau lagi, jika PKR menjadi parti memerintah, hak-hak istimewa kaum Melayu tetap akan terjaga dan dilindungi kerana ianya sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia walaupun parti ini merupakan parti pelbagai kaum.

Kesemua kaum disatukan dalam satu landasan melalui perlembagaan parti yang tidak dipisahkan berdasarkan agama dan ras kaum.Beliau yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang memerangkap Pengerusi Perhubungan Negeri meletakkan harapan supaya Bahagian Tampin tidak ketinggalan dan terus bergerak ke hadapan untuk mengukuhkan gerak kerja bagi kekuatan parti di Tampin keseluruhannya.

Atas faktor kekurangan jentera yang kuat di Tampin pada Pilihanraya Umum 2008 lalu, PKR Negeri Sembilan tidak dapat meletakkan calon untuk bertanding. Namun begitu, beliau yakin gerak kerja yang jitu bermula dari sekarang akan mengukuhkan kekuatan PKR di Tampin bagi menghadapi PRU akan datang.

Dato' Kamarul turut mengimbas kembali sejarah perjuangan parti sejak 10 tahun lalu. Jelas beliau, PKR bukanlah parti serpihan. Pada tahun 2004 lalu ramai yang beranggapan PKR akan berkubur seperti Parti Melayu Semangat 46. Namun begitu, melalui kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memacu kekuatan semula PKR.

Ini telah terbukti melalui keputusan PRU 2008 apabila PKR menjadi parti pembangkang utama dengan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.Sokongan rakyat kepada PKR telah dibuktikan melalui PRU 2008 lalu. Beliau turut menyatakan PKR bakal menjadi memerintah dan peralihan kerajaan Persekutuan akan tetap berlaku.

Tambah beliau, PKR akan memastikan keadilan kepada rakyat untuk membawa harapan baru.MATB Tampin semalam turut dihadiri oleh Setiausaha Perhubungan Negeri, Sabaruddin Mohd Yassim sebagai pemerhati, Pengerusi Tetap Bahagian Rasah, Salimin Kamjan dan Ketua Bahagian Rasah, Haji Muhammad Kamel Yassin sebagai pemantau.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua AJK Bahagian yang diketuai oleh Kapten (B) Zolkapli Kassim, berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kekecohan dan berakhir jam 6.00 petang.