RUKUNEGARA
-
1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN
-
Prinsip Rukunegara ini adalah asas pegangan seluruh rakyat yang mengaku diri mereka sebagai warganegara Malaysia. Tidak ada mana-mana warganegara yang harus mempertikai atau ingkar dengan prinsip ini. Melanggar prinsip ini bermakna menyanggah kehidupan kenegaraan yang merupakan asas ke arah keharmonian keamanan dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.
-
Kekecohan yang berlaku akhir-akhir ini adalah fenomena daripada penyangghan kepada prinsip Rukunegara tersebut. Seluruh tumpuan rakyat terarah ke negeri Perak Darul Ridzuan akibat kekecohan yang berlaku selepas penubuhan kerajaan "haram" yang lahir daripada proses 'kudeta' atau rampasan kuasa yang bertentangan dengan prinsip ketiga Rukunegara.Untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit nilainya.
-
Para penggubal pelaksana dan mereka yang terlibat dengan perundangan adalah mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membelai Keluhuran Perlembagaan ini. Hanya dengan terpeliharanya Keluhuran Perlembagaan barulah prinsip kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara dapat dipelihara.Kesetiaan kepada Negara yang Raja menjadi tonggaknya adalah usaha mempertahankan nilai-nilai yang termaktub di dalam sistem kenegaraan.
-
Antara lain dalam sistem itu adalah proses demokrasi yang telah diterima pakai oleh rakyat keseluruhan. Mereka yang menentang demokrasi atau lebih dashyat lagi cuba menubuhkan kerajaan haram adalah mereka yang TIDAK SETIA kepada negara dan MERENDAH-RENDAHKAN martabat Raja atau isntitusi kesultanan. Ia adalah umpama setitik nila yang merosakkan susu sebelanga. Titik hitam ini memberi imej yang cukup buruk terhadap negara pada pandangan dunia luar.
-
Lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh mereka yang menggelarkan diri mereka BAKAL PERDANA MENTERI Malaysia. Contoh apakah yang hendak mereka tunjukkan kepada rakyat negara ini apabila mereka mengajar rakyat untuk memcemar kesetiaan kepada raja dan negara? Teladan apakah yang hendak mereka terjemahkan apabila ia mengajar rakyat menggungkapkan "sumpah si Jebat"- Raja Adil Raja Disembah Raja Zalim raja disanggah! Mamak Bendahara telah salah menasihat raja sehingga negeri ditimpa petaka. Bukankah keroh di hilir kerana keroh di hulu? Rakyat tidak akan bertindak kerana prinsip kesopanan dan kesusilaan masih terpahat di jiwa mereka. Tetapi kisah Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun telah memaktubkan piagam rakyat dan raja.
-
Pencacai-pencacai Umno jangan celupar mulut mengatakan penyokong Pakatan Rakyat menyembah bicara derhaka kerana yang mengajar rakyat menderhaka kepada raja adalah bekas Presiden Umno! Lantaran itu, tidak ada seorang pun yang bersuara tatkala Almarhum Tuanku Jaafar yang ketika itu menjadi Yamtuan disaman oleh sebuah bank sedikit masa dulu tetapi kini sibuk membakar semangat perkauman dengan mengapi-apikan kenyataan Karpal Singh ingin menyaman Kebawah Duli Sultan Perak.
-
Keluhuran Perlembagaan adalah hasil daripada Kedaulatan Undang-undang dan Kedaulatan Raja-raja adalah manifestasi daripada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang tersebut. Itulah sebabnya orang tua-tua menasihatkan supaya kebencian orang jangan dicari, kesayangan orang jangan diambil dan jangan menjolok sarang tebuan.
-
Pakatan Rakyat telah menyatakan bahawa Suara Rakyat Suara Keramat. Oleh itu, janganlah dicari-cari kebencian rakyat kerana rakyat telah muak dengan permainan kapitan-kapitan Umno dan Barisan Nasional. Belum pun reda pemilihan mereka di bahagian, di mana mereka berebut kerusi untuk mempertahankan kuasa dan dengan kuasa ini mereka boleh membolot kekayaan sedangkan rakyat tetap hidup menderita. Rakyat tahu mereka menari di atas kesengsaraan rakyat. Rakyat faham mereka menubuhkan kerajaan haram untuk menambah wang haram bagi kepentingan mereka. Mereka mengheret raja-raja dalam pelbagai cara supaya mereka mencapai tujuan jahat mereka.
-
Mereka menjadikan Michevelli sebagai guru. Kini sekali lagi, Umno menjatuhkan martabat raja dan mengajar rakyat mengungkap sumpah si Jebat. Dalam kelembutan rakyat yang penuh Kesusilaan dan Kesopanan, Hang Najib "menyelam teras terendam".Justeru itu, orang-orang Umno dan BN mestilah belajar memahami Rukunegara sebelum berbicara tentang sembah derhaka.Merekalah yang membunuh imuniti Raja-raja. Merekalah yang menggunting dalam lipatan. Merekalah api di dalam sekam. Oleh itu, jika mereka hendak berpencak, berpencaklah di gelanggang terbuka. Bubarkan dewan dan biarkan rakyat membuat pilhan mereka. Jangan berselindung di sebalik bayang Raja-raja kerana rakyat lebih mengenal yang mana manikam yang mana permata!
-
BIRO PENERANGAN PKR NEGERI SEMBILAN
No comments:
Post a Comment