Tuesday, January 6, 2009

Masjid, surau perlu anjur solat hajat kutuk serangan Israel




TAMPIN - Masjid dan surau di daerah ini diminta menganjurkan program solat hajat dan ceramah agama bagi mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Islam Palestin.

Timbalan Pengerusi Persatuan Seriwani, Mazlan Abd Hamid berkata, melalui usaha itu, masyarakat Islam di negara ini juga dapat bersatu dengan mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin daripada terus dianiaya rejim Zionis.

Menurutnya, program keagamaan itu juga bertujuan memohon supaya keganasan dan penganiayaan tentera Israel akan mendapat hukuman yang setimpal.

“Saya berharap seluruh rakyat Islam dapat menjayakan program ini dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Palestin yang terus menerus dizalimi tentera Israel.

“Israel melakukan serangan ke atas masyarakat Palestin yang tidak berdosa sehinggakan anak-anak kecil menjadi mangsa kerakusan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mazlan berkata, kerajaan melalui kementerian berkaitan juga diminta menyenaraikan produk dan perkhidmatan yang berkaitan dengan negara Israel dan sekutunya bagi memudahkan masyarakat di negara ini melaksanakan usaha memboikot produk terbabit.

“Usaha itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang dikhuatiri timbul dalam kalangan pengguna yang berhasrat memboikot barangan keluaran Israel atau negara-negara sekutunya.

“Produk atau perkhidmatan syarikat Israel atau negara-negara sekutunya yang kita import dari luar harus disenaraikan kementerian berkenaan bagi memudahkan orang ramai memboikot produk keluaran negara itu,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu perlu digerakkan secara berterusan dan masyarakat juga perlu sepakat melaksanakan tindakan itu bagi memastikan matlamat menjatuhkan kuasa Israel dan sekutunya menjadi kenyataan.

“Masyarakat juga tidak perlu bimbang kerana Malaysia sendiri mempunyai pelbagai produk yang lebih baik dan berkualiti berbanding produk yang dihasilkan syarikat Israel atau sekutunya,” katanya.




No comments: