Friday, November 18, 2011

PRU-13: PKR Tampin komited & sedia bertanding!

PKR Tampin menyatakan kesediaan untuk menyertai PRU-13 bukan sekadar menjadi jentera untuk membantu rakan komponen PR Tampin tetapi adalah untuk turut bertanding di mana-mana kerusi Dun samada N35 Gemencheh atau N34 Gemas atau P133 Parlimen Tampin.

PRU 1999 PKR Tampin ketika itu telah bertanding di Dun Kota (ketika itu berada dalam Parlimen Tampin). Perolehan undi popular KEADILAN amat memberangsangkan dengan jumlah 2,515 undi (36.09%). BN ketika itu menang dengan majoriti bawah dua ribu undi iaitu 1,929 undi.

Perolehan undi kepada KEADILAN waktu itu melonjak 1,720 undi berbanding perolehan undi PAS yang bertanding dalam PRU 1995 dan hanya memperolehi undi hanya 795 undi. Ia adalah swing undi yang memberangsangkan kepada KEADILAN iaitu 24.28%. Majoriti BN pada PRU 1995 di DUN Kota adalah 5,142 menyusut kepada 1,929 undi majoriti iaitu pengurangan sebanyak 3,213 undi.

Jika ukuran sejarah lampau diukur sebagai bukti penerimaan dan pencapaian, maka seharusnya di Tampin pada PRU-13 kali ini PKR wajib masuk bertanding. Hal ini tidak boleh dinafikan oleh PAS Tampin. Hakikat politik (real-politic) harus dilihat dan dinilai bukan lagi sekadar 'memandang' hasrat PKR itu sebagai saingan atau gugatan kepada politik PAS.

Demi mewujudkan kesepakatan sebagai Pakatan Rakyat, maka kewujudan PKR Tampin harus diterjemahkan dengan memberi laluan PKR masuk bertanding samada di Dun atau Parlimen. Secara penelitian data, PKR Tampin berhasrat untuk bertanding di Gemencheh atas faktor pemilih Bukan Melayu meliputi hampir 40% daripada keseluruhan pemilih berdaftar di Gemencheh.

Akan tetapi jika diberi laluan di lain kawasan, PKR Tampin juga tetap sedia masuk bertanding atas prinsip perjuangan lawan tetap lawan. PKR mempunyai konsep tidak mengira kawasan hatta seperti Dun Gemas sekalipun kerana pencapaian PKR di kawasan yang majoriti Melayu tetap memberangsangkan. Ia terbukti di Dun Palong dan Juasseh yang mempunyai pemilih Melayu melebihi 70%.

Sesi Penerangan Isu Fidlot Bersama Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli

Jawatankuasa Cabang Tampin bersama Rafizi Ramli


17 November 2011/Khamis
Pejabat PKR NS, Jalan Rahang, Seremban
6.00 petang

Satu sesi penerangan isu Fidlot Gemas telah dilangsungkan dengan kehadiran seluruh Jawatankuasa Cabang Tampin. Taklimat dan penerangan isu tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Strategik PKR Pusat iaitu saudara Rafizi Ramli.

Sesi ini turut dihadiri beberapa pimpinan cabang lain di Negeri Sembilan untuk mendapatkan penjelasan secara terperinci.

Turut hadir semua ADUN PKR Negeri Sembilan iaitu YB Chai Tong Chai (Chuah), YB Aminuddin Harun (Sikamat), YB Rashid Latiff (Ampangan) dan YB M.Ravi (Port Dickson).

Thursday, November 10, 2011

Fidlot: Sasaran lembu kurang tapi dana RM250 juta kekal?

KEADILAN mempersoalkan kenapa sasaran lembu dalam Projek Fidlot Kebangsaan dikurangkan, tetapi dana yang diperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFC) kekal.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution hairan mengapa pinjaman mudah itu tidak disemak semula oleh kerajaan.

“Kenapa ‘soft loan’ tidak disemak semula? Kenapa masih kekal RM250 juta? Kenapa tidak dikurangkan?,” kata Saifuddin pada sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, jika sasaran itu dikurangkan dari 60,000 ekor lembu kepada 8,000 ekor, maka pinjaman mudah itu sepatutnya hanya RM75,000.

Saifuddin berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika di dewan rakyat semalam tidak menjawab soalan dibangkitkan.

Katanya, isu sebenar iaitu sejumlah besar wang rakyat telah diberikan kepada keluarga Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Menurutnya, pinjaman RM250 juta disalurkan ke dalam akaun khas pinjaman (special Loan) berbentuk amanah (escrow account), namun secara lazimnya, satu akaun amanah dipegang pihak ketiga (third party) yang menguruskan bagi kedua belah pihak.

“Kebiasaannya escrow account dipegang oleh bank atau peguam yang menerima arahan dari pemberi pinjaman sebelum menyalurkan pada peminjam.

“Tapi dalam kes pinjaman NFC, KEADILAN telah membuktikan bahawa pinjaman RM130 juta (bayaran pertama) dan RM120 (bayaran kedua) telah masuk ke dalam akaun milik NFC,” kata beliau.

Tambahnya, akaun NFC di Maybank dan Public Bank itu juga bukan di atas nama pihak ketiga tetapi di atas nama NFC sendiri.

“Kenyataan Menteri Pertanian bahawa wang selebihnya masih berada dalam escrow account yang dikawal kementerian menjerat beliau sendiri,” kata Saifuddin.

Jelasnya, berdasarkan rekod kewangan NFC, pelbagai perbelanjaan melampau dan pindahan wang dibuat sepanjang tahun 2008 dan 2009.

“Dan termasuklah pindaan wang berjumlah RM119 juta pada 31 Disember 2009, pindahan wang kepada syarikat milik Shahrizat sehingga mencecah RM83 juta pada 31 Disember 2009, perbelanjaan luar negara dan keraian RM828,000 2009 dan subsidi kepada restoran Meatworks RM3 juta pada 2009,”katanya.

NFC milik keluarga Shahrizat beli kondominium mewah RM9.8 juta

KUALA LUMPUR 10 Nov : KEADILAN mendedahkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membeli sebuah kondominum mewah berharga RM9.8 Juta.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, NFC telah membuat empat transaksi pindahan wang dari akaun semasanya di sebuah bank tempatan di cawangan Tun Dr Ismail, kepada sebuah pemaju hartanah terkemuka pada 2 Disember 2009.

“Ini sebagai bayaran penuh pembelian kondominium mewah di One Menerung, Bangsar,”

“Bayaran untuk pembelian kondominium RM9.8 juta direkodkan sebagai ‘hutang’ National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC pada 31 Disember 2009,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut serta Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Pada sidang media itu, Saifuddin turut menunjukkan gambar kondominum berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, bayaran untuk membeli kondominium oleh syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Shahrizat adalah satu bentuk penyelewengan wang rakyat menggunakan dana NFC.

“Ini adalah perlakuan pecah amanah yang jelas bertentangan dengan tujuan pinjaman RM250 juta diberikan NFC. Ini penyalahgunaan dana rakyat dan soal duit rakyat yang disalahgunakan,” tegasnya.

Butiran bayaran penuh bagi pembelian kondominium itu dibuat melalui empat transaksi pindahan akaun NFC kepada satu pemaju hartanah terkemuka

KEADILAN turut membidas kenyataan Shahrizat semalam mengatakan kononnya isu projek NFC telah digunakan untuk menyerang beliau selaku ketua wanita Umno dan pengerusi wanita BN.

“Dia (Shahrizat) tak perlu heret kita (KEADILAN) untuk kata kita serang dia sebagai ketua wanita Umno, tapi kita serang dia sebagai menteri yang secara terang-terangan membuat penyelewengan,” kata Saifuddin.

Semalam Saifuddin mempersoalkan sasaran lembu dalam Projek Fidlot Kebangsaan yang dikurangkan, tetapi dana yang diperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada NFC kekal.

KEADILAN juga mempersoalkan mengapa pinjaman mudah itu tidak disemak semula oleh kerajaan kerana jika sasaran itu dikurangkan dari 60,000 ekor lembu kepada 8,000 ekor, maka pinjaman mudah itu sepatutnya hanya berjumlah RM75,000.